Saturday, June 27, 2009

TERKINI.....

Menu Ikan Air Tawar Akan Diwajibkan Di Asrama Institusi Kerajaan - Noh


SHAH ALAM, 21 Jun (Bernama) -- Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar hari ini berkata menu makanan di asrama-asrama di institusi latihan, pengajian dan sekolah-sekolah serta organisasi milik kerajaan akan diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya satu menu hidangan ikan air tawar sekali dalam masa seminggu.

Beliau berkata perkara ini dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan syarat-syarat ini akan dikuatkuasakan dalam tender pembekalan baru bekalan makanan basah selepas tender yang sedia ada tamat tempoh, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Promosi Ikan Air Tawar di Pasar Tani Peringkat Kebangsaan anjuran Lembaga Pemsaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini hari ini.

Beliau berkata langkah ini telah diluluskan kabinet dalam mesyuarat Rabu lepas dan diharap langkah ini akan meningkatkan keberkesanan kempen menggalakkan pemakanan dan memperluas pasaran ikan air tawar di dalam negara.

Selain daripada itu, keputusan ini diharap dapat memberi peluang kepada generasi muda untuk menikmati ikan air tawar agar mereka tidak merasa janggal untuk menjamah ikan yang menjadi sumber protein nenek moyang mereka satu ketika dahulu.

Langkah ini juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan laut yang diimport di mana Malaysia mengimport 350,000 tan ikan dan produk ikan setahun terutamanya dari negara jiran yang kurang kesegarannya berbanding dengan ikan air tawar yang dihasilkan di Malaysia.

Kerajaan juga telah mengambil langkah menggalakkan industri akuakultur dengan memperuntuk RM358 juta bagi penyediaan infrastruktur dan sokongan teknikal bagi menarik minat pihak swasta menyertai sektor ini.

Bagaimanapun, Noh berkata beliau kecewa apabila pasaran ikan air tawar seperti keli dan patin di dalam negara meningkat dengan pulangan yang baik dan menarik minat rakyat untuk menyertai industri ini, ada pula pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai telah mensabotaj perkembangan ini.

Ini mengakibatkan harga pasaran keli dan patin di negara ini merudum selepas media melaporkan ada di antara para pengusaha yang tidak bertanggungjawab memberi makan benda yang terlarang dan menjijikkan kepada ikan-ikan itu mengakibatkan sesetengah pihak kini tidak berselera untuk membeli apatah lagi memakan ikan keli dan patin, katanya.

Oleh itu, beliau berharap perkara itu dapat diatasi apabila Akta Bekalan Makanan Haiwan yang sedang dibentangkan oleh Kementeriannya di Parlimen pada sidang kali ini diluluskan.

Apabila akta ini diluluskan kementerian akan membuat peraturan supaya bekalan makanan ikan ini mestilah daripada bahan yang suci dan halal supaya para pengguna tidak merasa was-was untuk memakannya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment